Sunday, August 23, 2009

AYAH SEORANG PEMBUNUH

Kami sering bersengketa antara satu sama lain,
Bagai anjing dan kucing walau sedarah sedaging,
Ayah yang sedaya upaya menjernihkan anak beranak.
Kami selalu berselisih faham,
Semua yang dihendak,
Ayah menegah dengan alasan tersendiri,
Hati kami buta hanya mengikut perasaan,
Walau masih muda tapi kami kata ayah bodoh, ayah tuli.
Kami mahu kesenangan dengan cara senang,
Tidak, ayah menasihati supaya belajar berjalan sebelum berlari,
Kami rasa ayah kuno,
Dibaling sahaja kata-kata azimat nya ke lautan.
Ayah berpening kepala, keluh berkali-kali,
Sengaja kami berlagak pekak,
Tidak menghargai pengorbanan ayah,
Mencari rezeki demi keluarga tercinta.
Ayah meninggikan suara,
Berkerut seribu di wajahnya,
Kami fikir ayah tidak berhati perut,
Barang kali tekanan yang ayah lalui,
Tiada siapa kisah,
Kami hanya membenci ayah,
Bukankah dia juga manusia biasa?
Kami tinggalkan ayah sendirian tanpa teman,
Biarpun berpuluh tahun membela anak-anak,
Kami tergamak melupakan jasa ayah,
Dia, kami abaikan.
Dia, kami lupakan.
Tidak semua yang bernasib baik,
Cuma kami tak sedar dek untung,
Pada kami, ayah sebuah beban di hari tua kelak.
Walaupun ayah adalah dari kaum Adam,
Yang biasanya tidak intim bersama anak-anaknya,
Seintim hubungan ibu tapi ayah punya perasaan,
Dia juga mahu dikasihi,
Ayah juga mahu dibelai dan dilayan sama rata seperti ibu,
Sebagaimana ayah tidak memilih kasih antara anak-anaknya.
Dia juga mahu diajak cerita bersama anak-anaknya,
dan biarpun ayah seorang lelaki,
Dia juga mahu ciuman di pipi ketika beraya.
Ayah lah pembunuh percintaan, kata anak.
Sebaliknya dia tahu itu belum masa nya.
Ayah lah pembunuh keluarga bahagia, kata anak.
Sebaliknya ayah sibuk mencari sesuap nasi siang dan malam.
Ayah lah pembunuh masa depan, kata anak.
Sebaliknya dia tahu apa yang terbaik.
Dia lah pembunuh,
Dia lah ayah kita...

No comments:

Post a Comment